Gerun menyusuri cerun, namun lebih gerun lagi apa yang aku alami. Apapun, aku perlu melakukannya dengan penuh keikhlasan. Aku betul-betul terperangkap dalam situasi yang menyisihkan aku dari kawan-kawan lain. Aku sebenarnya nyaris terpisah dari lingkungan selamat, berada di perantaraan nyata dan maya. Penglihatanku jadi tidak jelas dan dalam selamasa tertentu persekitaran begitu mengeliru.
Perutku meragam lagi sela beberapa minit selepas aku pergi membuang. Aku pun lupa jam berapa aku bangun semula ke khemah Epin. Kali ini Epin enggan melayan. Dia minta aku tahan hingga ke pagi. Walaupun keciwa, aku akur kerana aku faham tiada siapa pun sanggup bangun pagi-pagi buta dalam enak diulit mimpi. Aku melangkah pergi menuju ke khemah ku. Hingga berhampiran bucu khemah Fitri, aku terperasan persekitaran yang begitu berkabut. Suasana begitu indah hingga mengkhayalkan. Rasa takut atau gementar ku tiba-tiba hilang. Angin pagi yang berhembus begitu nyaman, segar dan mengasyikkan. Entah mengapa aku jadi leka. Aku ingin turun ke bawah sana, ke gigi air.