Gerun menyusuri cerun, namun lebih gerun lagi apa yang aku alami. Apapun, aku perlu melakukannya dengan penuh keikhlasan. Aku betul-betul terperangkap dalam situasi yang menyisihkan aku dari kawan-kawan lain. Aku sebenarnya nyaris terpisah dari lingkungan selamat, berada di perantaraan nyata dan maya. Penglihatanku jadi tidak jelas dan dalam selamasa tertentu persekitaran begitu mengeliru.
Perutku meragam lagi sela beberapa minit selepas aku pergi membuang. Aku pun lupa jam berapa aku bangun semula ke khemah Epin. Kali ini Epin enggan melayan. Dia minta aku tahan hingga ke pagi. Walaupun keciwa, aku akur kerana aku faham tiada siapa pun sanggup bangun pagi-pagi buta dalam enak diulit mimpi. Aku melangkah pergi menuju ke khemah ku. Hingga berhampiran bucu khemah Fitri, aku terperasan persekitaran yang begitu berkabut. Suasana begitu indah hingga mengkhayalkan. Rasa takut atau gementar ku tiba-tiba hilang. Angin pagi yang berhembus begitu nyaman, segar dan mengasyikkan. Entah mengapa aku jadi leka. Aku ingin turun ke bawah sana, ke gigi air.
Dingin pagi yang menampar kakiku yang hanya berseluar pendek, membuatkan aku terus mencangkung. Lantas ku nyalakan rokok. Begitu indah aku rasakan di saat itu. Langit kelihatan cerah sehingga di celah-celah kabut pagi itu aku dapat lihat kilauan air di sungai tempat aku membuang tadi. Hatiku tiba-tiba melonjak ingin ke sana. Aku teringat kepada sesuatu itu. Adakah ia masih di situ menungguku? Aku bangun berdiri selepas habis sebatang rokok. Belum sempat aku melangkah untuk turun ke sungai, pesanan Epin tiba-tiba menerpa di fikiranku.
"Hang jangan pi sorang-sorang Pin, bahaya"
Langkahku terhenti lalu aku segera mencangkung semula. Persekitaran tiba-tiba jadi begitu gelap. Tanpa kabut, tanpa langit yang cerah dan tanpa kilauan air sungai. Perasaan takut menyelubungiku. Lantas kunyalakan sebatang lagi rokok. Ku sedut dalam-dalam lalu ke hembus deras. Degup jantungku begitu kencang. Aku ingin bergegas ke khemah Epin tapi ku batalkan niat ku kerana aku yakin Epin tidak akan menyahut pun. Dalam cemas, aku berjalan cepat-cepat menuju ke khemah ku. Memang aku tiba-tiba jadi teramat takut.
Aku tidak lena tidur. Bukan kerana perutku meragam tetapi akibat perasaan yang menyelubungi mindaku. Rasa belas kasihan bercampur simpati. Aku tiba-tiba rasa bersalah. Aku akan rasa lebih bersalah jika aku tidak ke sana. Aku tahu ia menunggu ku kerana aku yang berjanji akan pergi menemuinya semula sebelum pagi. Aku lawan perasaan takut ku untuk turun ke gigi air. Dengan bertongkatkan sebatang kayu bagi menyokong kedua-dua kakiku yang sejak tadi lagi goyang gementar, aku meredah kegelapan pagi. Sesekali kaki ku tersadung akar-akar yang berselirat di sepanjang laluan. Aku perlu ke situ. Aku dapat rasakan perasaan sesiapa sahaja yang menunggu orang yang tak kunjung tiba. Aku tidak mahu mengeciwakan ia.
Jalan untuk turun ke gigi air ku rasakan begitu sukar. Mungkin kerana aku rabun maka laluan itu sukar dicari. Aneh kerana aku rasa seolah-olah aku tidak pernah sampai ke situ. Penat juga aku pusing keliling di kawasan yang sama hingga akhirnya aku duduk di sebuah bangku. Aku dapat dengar deruman air jeram dan aliran sungai di belakang ku. Aku duduk diam, mengamati untuk mengenalpasti arah mana harus aku lalui. Aku mahu ke situ.
Entah kenapa, pesanan Epin tidak lagi ku hiraukan. Memang bahaya jika turun ke gigi air bersendirian. Namun, apakah dia sanggup turun bersama aku pada waktu aku perlu? Kata-kata adakalanya tidak memberi apa-apa makna. Ia hanya di bibir sahaja. Oleh itu aku perlu membuktikan kepada sesuatu itu bahawa aku bukan begitu.
Aku buntu kerana tidak dapat mencari jalan ke gigi air. Antara sedar dengan tidak aku dapat rasakan dua susuk tubuh menghampiri aku. Aku tersentak bila mereka menyapaku, lantas aku menoleh. Fitri dan Ayu. Aku jadi sayu. Sedih kerana pagi akan menjelang sedangkan aku belum sempat bertemu ia seperti yang aku janjikan. Cepat aku mengatur langkah terbongkok-bongkok mencari jalan ke gigi air. Kalaupun sesuatu itu bukan kawan ku, aku tetap pergi menemuinya kerana aku tidak mahu ia keciwa.
"Nak pi mana?" aku dengar suara menegur.
"Tolong tunjuk jalan ke air, aku mahu turun ke air" jawabku.
"Ikut situ," jawabnya menunjukkan arah ke kanan.
Lega rasa hati aku. Jantungku mula berdebar. Antara teruja dengan rasa takut. Teruja kerana aku dapat juga mengotakan janjiku, takut kerana aku tidak tahu apakah yang bakal ku temui. Ku beranikan juga diri ku. Aku ingin tahu dan aku ingin membantu. Keikhlasan sebenarnya tidak boleh dijual beli. Ia tidak ternilai.
Permukaan air ku lihat berasap. Bukan kabut tapi wap. Udara yang datang dari situ begitu hangat kurasakan bila ia menampar kakiku. Begitu selesa bak berada di spa. Aku duduk di sebuah batu. Aku toleh ke arah tempat di mana aku bertemu sesuatu itu sebelumnya. Perasaan ku jadi tenang. Indah. Sambil menunggu, aku bermain-main dengan air. Suam. Sedap. Ku rendamkan badan, ku celupkan kepala ke dalam air. Ia amat menyegarkan.
"Maaf jika aku terlewat. Aku tetap datang..." bisik aku. "Dalam apa cara pun beritahulah agar aku faham".
Sepantas kilat aku rasa kedua-dua kakiku disambar lalu ditarik ke batu berhampiran. Aku terlentang di dalam air memandang ke langit. Aku menggapai tangan cuba memaut batu di sekitar itu tetapi tidak berjaya. Badanku terus di tarik ke dasar sungai.
"Matilah aku kali ini..." aku menahan nafas sambil memejamkan mata.
"Hang jangan turun sorang2 Pin, bahaya..."
Pesanan Epin memang sudah tak ada makna.
No comments:
Post a Comment