Friday, July 30, 2010

Aku meminta pada yang ada.....

Ia bukanlah memaksa, tidak juga mendesak. Ia seolah-olah merayu penuh hiba dan menghiris perasaan. Rayuan itu begitu melemaskan hingga sesak nafas ini dan begitu mengkhayalkan hingga boleh terlena dibuatnya. Cuma aku tidak tahu apa yang dia mahu. Penat aku menafsirnya.

Sambil berbaring aku cuba mengingat perkara yang berlaku sepanjang dua hari itu. Jeft sudah pun lena tidur di kanan ku. Anas di kiri ku masih jaga. Entah apa dia buat aku pun tak pasti. Selepas dia beri pinjam lampu suluhnya kepada aku, dia berbaring senyap di tempatnya. Aku tidur tidak berbantal dan hanya berselimutkan pelapik lantai khemah. Selesa juga. Entah kenapa aku langsung tidak rasa sejuk macam masa di Kem Seroja. Pelapik lantai khemah itu rasanya macam comforter pula.

Khemah sebelah masih riuh. Suara BJ, Nadzwan dan Izuan tak henti-henti mengusik sambil mengutuk kawan-kawan lain. Biasalah mereka, kalau tak mengutuk orang, tentu tak lena tidur. Aku pun seronok juga sebenarnya, tumpang mengutuk sama di mana boleh. Ha ha.

Aku hampir terlelap bila tiba-tiba aku terdengar suara Epin.

"Pin, bak mai botol ayaq hang. Aku nak pi ambik ayaq. Nanti esok hang dahaga."

Aku bingkas bangun untuk lalu mengambil botol air ku. Lantas aku keluar untuk menghantar botol air itu kepada Epin. Tiada pun Epin di sekitar itu. Aku masuk semula ke dalam khemah. Lama juga aku menunggu Epin. Mungkin dia tak jadi pergi.

"Wei, Pin! Cepatlah! Hang mau ka tak mau! Mana botoi ayaq hang?"  suara Epin macam marah bunyinya, ku dengar sudah hampir di depan pintu khemah ku. Aku cepat-cepat membuka pintu khemah.

"Sori Epin. Aku cari hang tadi... Hang takda," aku cepat menjelaskan kepada Epin yang sudah tercegat di depan ku. "Aku nak ikut hang pi ambil air"

"Hang nak ikut sama. Elok juga... Kot hang nak kencing ka..," balas Epin. Dia terus tak jadi marah.

"Tunggu sat, aku pakai kasut," jawabku ringkas. Epin terus berjalan ke hujung laluan dan menunggu di situ. Aku dengan cepat mengekor dia. Sesampai di hujung laluan sana, aku tiba-tiba rasa tidak enak. Entah kenapa aku rasa tidak mahu ikut Epin. Bukan sebab aku marah kepada dia atau kecil hati dengan dia tetapi aku tiba-tiba jadi gugup.

"Mana botol Ipin?" Zaidi yang tiba-tiba muncul dari semak sana bertanya kepada Epin. Walaupun terperanjat, aku rasa lega.

"Korang nak tolong ambilkan air ka? Nah ambil botol ni," kata ku.
Payah juga aku hendak melelapkan mata. Semua peristiwa yang berlaku semenjak hari pertama bermain-main di fikiranku. Aku jadi takut kepada Epin. Bukan sebab dia marah kepada aku atau bersikap garang kepada aku tetapi ada sebab lain yang betul-betul menjadi tandatanya. Mengapa Epin? Mengapa bukan orang lain? Aku tidak faham. Aku terus cuba mengingat kejadian yang baru sahaja berlaku sebentar tadi. Mungkin mataku rabun membuatkan penglihatan ku tidak jelas. Apapun, ia betul-betul membuatkan aku takut. Adakah Epin sudah menjadi mangsa kelibat hitam itu? Atau dia telah diambil pergi oleh kelibat itu? Aku jadi makin lemas.
Sesuatu telah menyedarkan aku dari tidur yang entah jam berapa mulanya. Perutku memulas-mulas sakit. Aku segera mencapai lampu suluh yang dipinjamkan oleh Anas lalu menyuluh ke jam tangan ku. Pukul 3.00 pagi. Suasana sekitar begitu sunyi. Bunyi dengkur pun tidak kedengaran. Terlalu sunyi. Apa yang harus aku lakukan? Perut aku makin ditahan makin menjadi-jadi sakitnya. Aku perlu segera buang air. Patutkah aku menggerak Epin atau aku pergi bersendirian? Epin tentu marah kalau dia tahu aku turun ke sungai bersendirian. Aku teragak-agak Lantas ingatan ku terlontar kepada Epin.
Dalam samar-samar cahaya malam itu, memang tidak syak lagi apa yang aku lihat. Kaki Epin yang ku lihat bukan kaki sebaliknya berupa dua batang perdu pokok pisang. Apabila Zaidi menawarkan diri untuk pergi mengambilkan air, aku cepat-cepat menyerahkan botol-botol air ku kepada dia. Aku terus balik ke khemah tanpa menoleh lagi. Aku tiba-tiba jadi takut kepada Epin, padahal kami datang bersama-sama.

Alamak, kenapa lah pulak perut aku meragam, bisik hatiku. Biasanya kalau pergi mendaki atau melakukan apa-apa aktiviti, perutku tidak pernah meragam. Kadang-kadang hingga 4 hari tidak rasa mahu membuang walau banyak mana sekalipun aku makan. Kali ini entah apa silapnya, sakit betul perut aku. Macam dipulas-pulas ususku. Aku cuba menahan kesakitan dengan harapan aku tidak perlu pergi membuang kerana aku rasa takut untuk keluar dari khemah. Aku tahu di luar sana tentu ada sesuatu yang tidak dapat dilihat itu, sedang berkeliaran. Kejadian-kejadian yang ku alami semenjak semalam meyakinkan aku tentang itu.

"Epin!" aku berbisik. "Aku sakit perut nih... Boleh temankan aku dak?"

"Pin ka?... Tunggu sat.." Epin menyahut.

Lama juga aku tunggu. Mungkin Epin pun rasa berat hati untuk bangun. Aku rasa serba salah. Jam tanganku menunjukkan pukul 4 pagi. Suasana di sekitar kawasan perkhemahan itu begitu sunyi dan sejuk. Cerah sebab terdapat lampu yang digantungkan di tiang berhampiran khemah BJ. Sambil menunggu Epin, aku duduk mencangkung menahan sakit di dalam kesejukan dan rasa mengantuk Entah-entah di dalam khemah itu bukan Epin tetapi sesuatu yang lain. Aku mula fikir yang bukan-bukan. Entah-entah dia sedang membaham Zaidi.

Wajah Epin nampak serious dalam cahaya yang samar-samar itu. Dia tidak cakap banyak tetapi gerak-lakunya menunjukkan dia mengambil berat. Tiba di tepi sungai yang berhampiran khemah Tuan Besout, Epin menyuruh aku turun ke celah-celah batu sana dan cari lokasi yang sesuai. Aku memang tak biasa buat operasi sebegini. Risau bercampur takut. Macamana pun terpaksa aku harungi juga. Aku pun tidak mahu Epin marah nanti. "Hang pilih ja mana-mana weh, aku duduk kat sini... Aku tak tengok weh.."

Kasihan juga aku kepada Epin sebab tidurnya telah aku ganggu. Waktu-waktu sebegitulah yang paling sedap untuk tidur. Aku cepat mencari lokasi. Payah juga. Sambil mencari, aku toleh juga kepada Epin. Dia menghalakan lampu suluh ke arah lain dan memandang ke arah lain. Kawasan di sekitar aku jadi gelap. Aku ketika itu sudah pun berada agak jauh di tengah-tengah sungai. Itulah pertama kali dalam hidup aku membuang di dalam hutan. Malu juga aku kepada Epin tapi apa nak buat. Kalau orang lain selain Epin tentu aku tak akan minta temankan aku. Epin lain. Walaupun kami baru kenal antara satu sama lain, sikap Epin membuatkan aku selesa. Dia jujur, ikhlas dan telus walaupun kami selalu juga kutuk-mengutuk sesama sendiri.

Sedang aku leka membuang, aku dapat rasakan air sungai tempat aku mencangkung membuak, gelombangnya melawan arus. Aku tersentak oleh sesuatu yang bermain-main di betis ku. Macam kucing. Lembut dan manja. Tetapi, mana ada kucing boleh menyelam kerana kakiku pada waktu itu terendam di dalam air. Aku cepat-cepat menyudahkan kerja aku. Kedudukan Epin begitu jauh dariku. Kalau apa-apa berlaku kepadaku, tentu Epin pun tidak akan dapat membantu. Cepat aku menyusun langkah untuk naik ke atas. Belumpun sempat aku melepasi sebuah batu besar untuk melompat ke darat, bahu kiri ku disentuh oleh sesuatu yang hangat. Aku tergamam. Kuat ia mencengkam seolah-olah meminta aku berhenti sebentar.

Hembusan angin tiba-tiba begitu mengkhayalkan. Tarikan nafas ku menjadi amat selesa seperti mendapat bekalan oksigen yang berlebihan. Namun, di atas batu itu aku rasa hilang imbangan. Badanku tiba-tiba terdorong ke belakang, sama seperti apa yang pernah berlaku di Intan Suraya dulu."Oh... please... Not again!!!" bisik hatiku. Cemas bertukar menjadi takut. Habislah aku kali ini.

Alangkah leganya hatiku apabila dari belakang sesuatu telah menahan aku dari terus terlentang. Kemas sokongannya dan begitu hangat seakan sedang memeluk aku dari belakang. Ia membelai rambutku dari belakang tengkuk bagaikan ingin membisikkan sesuatu. Aku tahu dia cuba mengingatkan aku tentang sesuatu. Kalau boleh memang aku ingin membantu tetapi aku sedar aku mungkin tidak mempunyai cukup kekuatan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.  Ia terus membisik. Merayu. Meminta. Ia terus menyimpan harapan. Aku jadi semakin lemah. Waktu itu perasaan takut telah hilang dan beransur-ansur diganti dengan rasa belas kasihan.

Kesedihan dan rasa kehilangan itu menyelubungi hati dan perasaanku. Di lubuk yang dalam itu ia ditinggalkan terpasung dalam keadaan duka yang teramat sangat. Dari situ ia cuma bertemankan malam yang sepi. Langit yang gelap dan bulan purnama. Ia terus meminta. Merayu. Minta dikasihani. Hatiku mula tersentuh.

 Aku nampak Epin dari jauh.

"Aku tidak boleh berlama di sini. Kawanku sedang menunggu. Aku akan datang kembali sebelum cerah," bisik ku. Aku tidak boleh membiarkan Epin terus menunggu di situ. Biarlah aku selesaikan masalah ini bersendirian. Ada hati yang menderita dan aku harus menolong setakat termampu.

Tetapi, kenapa aku?

No comments:

Post a Comment