Tuesday, July 20, 2010

Siapa tahu rindu yang mencengkam di hatiku

Gatal mulut. Itu istilah paling tepat.

Aku pun tak tahu kenapa gatal betul mulut aku petang itu. Cepat sangat meluahkan sesuatu  tanpa berfikir. Hal itu membuatkan aku termenung. Aku jadi makin risau. Aku tidak sangka ucapan ku itu membawa kepada apa yang sukar aku percayai. Ingatan aku balik kepada orang yang menyambutku ketika tergelincir petang tadi. Aku mula menyalahkan diri sendiri kerana degil tidak mendengar nasihat Epin. Jangan pergi mandi bersendirian. Kalaulah aku pergi ikut Epin mandi dengan kawan-kawan lain, tentu tidak jadi begini. Tapi nanti Epin rimas pulak kalau aku asyik mengekor dia. Lagipun, aku mahu mandi di tempat yang airnya dalam. Macam juga di Bubu,  seronok mandi dengan Pau dan DR.

Tapi kenapalah aku gatal mulut. Aku fikir tak salah kerana niat aku ikhlas. Aku bukannya mengeluarkan kata-kata kesat. Aku bukannya menegur apa-apa yang tidak elok ataupun mengutuk apa-apa yang pelik yang aku lihat. Aku cuma mahu menyatakan rasa terima kasih ku. Tapi mungkin cara aku nyatakannya telah disalahtafsir. Dalam rasa serba-salah, risau, cemas dan takut, aku ingin sekali menceritakannya kepada Epin. Malangnya aku tidak berpeluang langsung. Aku lihat Epin sibuk dengan kawan-kawan lain. Aku pun tak pasti sama ada Epin akan percaya kepada aku atau tidak.

Sekarang sesuatu yang baru aku temui itu mungkin tidak akan melepaskan aku. Aku jadi takut.



"Hang ada shaver tak Pin?" tanya Epin.
"Tak dak," jawabku ringkas.
"Aku rasa aku ada nampak, hang bawak," Epin cuba mendapatkan kepastian.
"Mana ada. Aku sendiripun tak shave ni," balas aku, lalu aku menjenguk ke dalam khemah. Jeft ada di situ.

"You ada bawa nasi tak?" tanya aku kepada Jeft.
"Tak ada," jawab Jeft ringkas.
"Hah? Tak ada pek?" terkejut gak aku. "Tadi BJ ada suruh setiap orang pek nasi masing-masing.... U takda pek ka?"
"Tak ada..." jawab Jeft.
"Tak apa, saya ada pek banyak. Nanti saya bagi you setengah nasi saya" kataku kepada Jeft.

"Wei Pin. Nasi hang letak mana?" Epin tetiba mencelah.
"Kan aku dah habaq kat hang tadi, aku simpan dalam khemah..." jawab ku.
"Bila masa hang habaq kat aku?" Epin terkulat-kulat.
"Ada tadi..." kata-kata ku tersekat di situ sahaja apabila teringat peristiwa sebelum itu.


Entahlah. Aku rasa mood aku dan mood Epin macam tidak begitu baik petang itu. Aku rasa tidak sedap hati namun ku sembunyikannya. Beberapa persoalan bermain di fikiranku. Selepas menukar pakaian, aku cepat-cepat bergegas turun bersama bungkusan nasi kerana tiada siapa lagi yang tinggal di kawasan perkhemahan itu. Ada rasa kebimbangan. Di khemah memasak, Jeft sudah pun lama menunggu. Epin ada di sebelahnya. Aku terus mendapatkan mereka lalu aku hulurkan bungkusan nasi kepada Epin.

"Bagi sikit kat Jeft," pintaku kepada Epin. Epin lantas mengeluarkan 2 tapawe nasi dari beg plastik yang aku berikan kepada dia.

"Ambil setengah Jeft," aku menyuruh Jeft menceduk dari tapawe nasi ku. Jeft akur.

"Hang ambik yang ini. Ajak Zaidi makan, bagi sikit kat dia," bisikku kepada Epin sambil memberikan tapawe yang lagi satu. Memang banyak nasi yang Epin pek. Penuh tapawe. Epin ku lihat tidak banyak bercakap. Mungkin dia letih dan lapar. Aku pun letih dan lapar. Cepat sahaja aku habiskan nasiku. Kami makan nasi berlaukkan sardin. Tengah lapar, semua pun sedap. Cuma hatiku saja rasa tak sedap. Sebenarnya fikiran ku tiada di situ. Ia terlontar jauh entah ke mana.


Malam itu, teruk juga kami nak sediakan makan malam sebab api tidak dapat dimarakkan hingga cukup besar untuk memasak nasi. Aku lihat Zaidi dan Jeft bergilir-gilir mengipas bara.

"Wei Zaidi, hang ni mengipas bara sebijik macam Sofea Jane dalam Perempuan, Isteri dan dot dot dot," bisik aku kepada Zaidi. Dia ketawa. Memang pun. Sambil duduk terkangkang di depan bara api, dia mengipas macam mengipas celah kangkangnya sekali. Ha ha ha. Macam orang nak buat nasi kangkang.

"Pin, mana kamera? Jom ambik gambar..." tiba-tiba Epin bersuara.
"Alamak, kamera tertinggal kat khemah sana. Hang mau pi ambik tak?" jawabku.
"Malas lah..." ujar Epin ringkas. Selebet betul Epin ni, bisik hatiku. Nak ajak pi ambil kamera pun tak nak.

Aku terus bangun untuk pergi ke khemah. Teringat pula peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam 2 hari ini. Tiada sesiapa pun di kawasan khemah di atas sana. Takut weh.

"Jom Fitri, temankan saya pi ambil kamera," aku cepat-cepat mengajak Fitri. Mujur ada dia. Cepat sahaja Fitri mengekor aku. Aku kenal Fitri semasa kami mendaki Gunung Bubu tempohari. Tangkas orangnya. Disebabkan pada waktu itu aku pergi berseorangan dan Fitri pula pertamakali mengikuti grup kami, banyak juga masa yang kami luangkan bersama. Dia suka bercerita dan banyak bertanya membuatkan dalam tempoh waktu yang singkat kami jadi rapat juga.
Aku membuat sesi fotografi seperti selalu. Bukan apa, seronok bila dapat tengok semula gelagat kami bila pulang nanti. Entahlah macam monyet ke, kera lotong ke, ayam serama ke, itek belanda ke, aku pun tak dapat nak describe. Seboleh-bolehnya aku akan pastikan semua muka ada. Kita pergi bersama-sama, bila bergambar pun kenalah bersama-sama. Semua orang kena ada.

Riuh tetap riuh pada malam itu sebab setiap seorang dari kami memang kuat bercakap. Hu hu. Yang paling pendiam pun, banyak bercakap. Hu hu. Cuma aku rasa aku tiba-tiba jadi kurang bercakap dari kebiasaan. Ambil gambar pun tak banyak mana. Aku rasa seolah-olah berada di tempat lain yang sunyi dan sayu. Butir percakapan kawan-kawan ku jadi tidak jelas. Aku seolah-olah jadi khayal. Perasaan sedih dan sayu menyelubungi aku entah sejak bila. Aku sendiripun tidak tahu apa yang tidak kena. Epin pun aku tidak perasan berada di mana kerana fikiran aku terlontar jauh entah ke mana. Ia ibarat berada di dua tempat yang berbeza.

Di saat itu kamera menjadi teman setia. Satu-satunya teman yang sentiasa bersama aku di setiap XPDC semenjak XPDC Gunung Stong dalam tahun 2008. Memang kamera ini aku beli 3 hari sebelum mendaki Gunung Stong. Kebetulan pada waktu itu ada sale di kedai kamera di Giant Tambun. Memang berbaloi membelanjakan wang untuk kamera ini. Ia tidak pernah menghampakan aku.


Dan pada malam itu aku dapat rasakan kawan-kawan semakin jauh dari aku. Epin yang paling rapat dengan ku juga semakin jauh. Seolah-olah sayup meninggalkan aku di situ. Aku menjadi cemas dan rimas. Ia bagaikan berada di celah-celah sekumpulan manusia yang tidak mengenali aku. Padahal kami sama-sama datang ke situ. Sambil mengambil gambar, aku perhatikan persekitaran. Biasa sahaja. Di sekitar khemah memasak kawan-kawan ku semua riuh. Bilasaja aku memasang tripod dan menghalakan lensa, mereka beraksi memberikan respon. Mungkin hanya perasaan aku sahaja kerana aku letih dan mengantuk.


Aku lupa kami makan malam pada jam berapa dan lupa apa yang kami makan. Seingat aku, selepas mengambil beberapa shot gambar aku duduk bersama Tuan Besout. Macam biasa sambil menghisap rokok kami berbual. Tuan Besout memang rapat dengan aku sebab setiap kali xpdc dia akan pastikan aku selamat. Setiap kali xpdc, dia pasti akan sms aku bertanyakan sama ada aku pergi atau tidak dan setiap kali itu aku rasa seronok untuk sebab dapat berjumpa dia semula.

"Kita tak larat rasanya nak daki ke puncak esok," Tuan membuka kata dalam pelat kelantan. Dia membahasakan diri sebagai "kita". "Esok kalau ada sapa-sapa tak  mahu daki ke puncak, kita akan temankan dia di sini lah. Tapi kalau semua orang naik ke puncak, kita pun naik sama lah."

Aku rasa dia macam bagi "hint" kat aku.

Epin datang lalu duduk di sebelah kanan aku. Tuan duduk berhadapan dengan kami. Sambil menikmati rokok daunnya, dia terus membuka cerita tentang pengalaman di Gunung Stong kepada Epin. Epin mendengarnya dengan penuh minat. Sesekali dia mencelah bertanya. Aku masih ingat bagaimana aku tertinggal di puncak gunung berdua bersama guide bernama Ja. Jenuh dan cemas kami bergerak turun. Mujur pada waktu itu Tuan menyedari yang kami berdua telah tertinggal di puncak. Dia bersama seorang guide, Jani dan dua orang kawan aku Mior dan Fuad telah berpatah balik mencari kami. Pengalaman pada malam itu memang menakutkan.


Malam terus melarut. Anas, Syima dan Adib membantu BJ menggoreng bihun untuk sarapan pagi esoknya. Aku dan Epin masih bersama Tuan, mendengar ceritanya. Aku pun antara dengar tak dengar butir-butir perbualan. Mamai. Bukan mengantuk atau letih tetapi fikiran rasanya telah melayang entah ke mana. Teringat kepada apa yang berlaku petang tadi. Entah kenapa hawa malam itu tiba-tiba menjadi dingin. Macam ada hembusan bayu yang segar dan menyedapkan. Aku jadi berpinar-pinar lalu aku pejamkan mata dan tundukkan kepala meletakkan dahi ke lenganku.Aku dapat merasakan sesuatu. Sesuatu yang perlahan-lahan menyentuh hatiku, memainkan perasaanku. Suatu rasa kesedihan yang teramat sangat yang mungkin ingin dikongsikan oleh sesuatu yang tidak dapat dilihat itu. Rasa kehilangan.


Suasana tiba-tiba begitu sunyi. Hening. Perbualan kawan-kawan yang tadinya rancak beransur-ansur menjadi kabur dan perlahan-lahan hilang dari pendengaran. Aku mula menyedari bahawa bukanlah kawan-kawan yang jauh meninggalkan aku sebaliknya diri aku telah dibawa melayang jauh dari kawan-kawan. Dengan mata yang masih terpejam aku dapat rasakan diri ini telah dibawa jauh dan perasaan aku dibuai. Entah perasaan siapakah yang tiba-tiba melekat di sanubariku. Rasa kehilangan yang teramat sangat bercampur rasa keciwa yang membuak-buak. Hati yang hancur luluh. Ia masuk begitu jauh ke lubuk hatiku.
Dan di sebuah gaung yang dalam, gelap lagi menakutkan, dia telah ditinggalkan. Hanya yang kelihatan dari kedudukan itu ialah langit yang suram dan bulan mengambang penuh.  Rasa takut mungkin telah lupus sekian lama, namun kekeciwaan itu seolah-olah baru semalam. Air mataku mengalir deras bak sungai tempat aku mandi petang tadi. Ia bagai tidak dapat dibendung. Aku jadi begitu lemas.


Aku tersentak dari lamunan apabila Epin meletakkan tangan di belakang tengkuk ku. "Weh, hang ngantuk ka??" aku dengar Epin berbisik. Persekitaran kembali hingar-bingar dengan suara kawan-kawan lain berbual. Aku mengangkat muka. Ku lihat  Tuan masih di depan ku. Epin masih di kanan ku. Perbualan mereka sudah bertukar tajuk rupanya. Entah berapa kali agaknya.
"Kalau hang ngantuk, pi la baring kat belakang tu," kata Epin sambil menunjuk khemah memasak.
"Tak apa la, aku duduk sini," jawab ku. Sebenarnya aku takut terlena. Khemah memasak itu berhampiran laluan masuk ke sungai. Laluan itu sejak petang tadi seolah-olah menggamit aku agar turun ke situ. Biarpun suasana malam itu bak orang sedang rewang-rewang memasak untuk khenduri kahwin, namun untuk tidur di khemah itu bukanlah tindakan yang baik.

Bau bihun yang Anas goreng betul-betul menambat hatiku. Perutku tiba-tiba terasa lapar. Memang aku kuat makan, terutama di waktu malam. Aku bingkas bangun pergi ke tempat di mana Anas menggoreng. Syima dan Adib pun ada selain BJ. Lepas mengambil beberapa shot gambar, aku duduk menghampiri mereka. Mengendeng. Bihun tersebut memang untuk esok, tetapi mungkin BJ tahu kami semua ibarat hantu-hantu lapar malam itu, dia pun menyuruh membenarkan kami makan sebahagian dari bihun yang ada. Dua kali Anas kena menggoreng pada malam itu.


Dan... sunyi malam itu tidak terlawan sunyi sebuah hati yang ditinggalkan di situ. Hati siapakah itu? Persoalan demi persoalan bermain di fikiranku. Hatiku tersentuh. Ingin aku membantu tapi bagaimana? Lantas ingatan ku terlontar semula kepada peristiwa petang tadi.

"Siapa saja gerangannya, terima kasih kerana membantu. Tak tahu macam mana nak dibalas kebaikan ini..." kata-kata itu dengan spontan keluar dari mulutku petang tadi. Sekilas lalu bayu dingin ku rasakan berhembus menampar muka ku. Aku bagai terpukau seketika.

No comments:

Post a Comment