Petang masih muda. Hujan akhirnya berhenti dan langit masih cerah ketika itu. Selepas khemah tempat memasak didirikan, ada di antara kami yang sibuk menghidupkan api. Kayu yang basah dengan kelembapan persekitaran yang tinggi dan suhu yang rendah di ketinggian lebihkurang 3,000 kaki dari aras laut membuatkan begitu sukar untuk kami memarakkan api. Jenuh juga aku lihat Jeft dan Anas mengipas. Aku rasa ralat juga kerana tidak membawa WD-40.
Entah kenapa mood aku berubah untuk trip yang kali ini. Keceriaan itu seolah-olah telah luput dari diriku. Aku memerhatikan persekitaran. Kawan-kawan lain sedang sibuk dengan tugas masing-masing penuh keriangan. Riuh macam tongkang pecah. Biasanya aku akan cepat menyambar kamera, bergegas ke lokasi yang ku pilih untuk angle yang menarik lalu terus mengambil dan mengambil dan mengambil gambar. Kali ini, ia berbeza. Seindah mana pun suasana, aku bagai terkhayal oleh sesuatu yang lain. Sesuatu yang aku sendiri tidak tahu apa sebenarnya. Aku jadi termangu, hilang punca.

Seingat aku yang tidak berapa ingat ini, selepas mengambil beberapa shot foto, aku naik ke kawasan tapak perkhemahan di atas sana. Laluan naik ke atas agak sukar juga. Selepas satu cerun curam, perlu melintasi kawasan bersemak. Di atas sana aku lihat 5 khemah sedang dan telah didirikan. Oleh sebab kami tidak membawa khemah, Epin berkongsi dengan Zaidi manakala aku menumpang di khemah Jeft bersama Anas.

Aku jadi serba-salah kerana sleeping bag kami cuma tinggal satu sebab sleeping bag yang aku bawa telah jatuh ke dalam gaung. Setelah berfikir, aku membuat keputusan untuk Epin menggunakan sleeping bag tersebut sebab dia yang bawa dan dia tidak tahan sejuk berbanding aku. Aku rasa Epin pun serba-salah untuk menerimanya. Dia juga tidak mahu aku kesejukan.

Melihatkan Epin sibuk bersama kawan-kawan lain mendirikan khemah dan menghidupkan unggun api di kawasan situ, aku lantas turun ke kawasan khemah memasak untuk mengambil beg aku. Dengan kamera di tangan, aku mengambil beberapa shot. Entah kenapa aku rasa tak ada mood. Tidak macam di Kem Seroja.

Biarpun ada rasa seronok bersama-sama kawan-kawan dan seronok melihat gelagat mereka, namun fikiran aku tidak fokus. Sambil mengambil gambar aktiviti kami petang itu aku memerhatikan persekitaran. Aku suka tempat itu, terutama sungai dan air terjunnya. Entah kenapa, pada kali ini aku kurang memberi perhatian kepada kawan-kawan sebaliknya lebih menghayati sesuatu yang lain.


Kami makan tengahari lewat. Aku cuma ingat apabila BJ menyuruh kami keluarkan nasi masing-masing yang dipek di Kem Seroja untuk makan tengahari itu. Tapi apabila lauk tidak dapat disediakan kerana api tidak dapat dinyalakan, kami tidak jadi makan. Ramai yang kemudiannya pergi mandi sementara menunggu lauk siap. Aku sendiripun memang tidak sabar-sabar untuk pergi mandi. Aku memang suka air dan terdapat satu lokasi yang sejak awal lagi aku mahu ke situ. Aku mahu mengajak Epin ke situ tetapi dia sudahpun bersama-sama kawan-kawan lain mandi di kawasan sebelah atas yang berhampiran dengan khemah Tuan Besout.
Aku naik ke kawasan tapak khemah kami untuk menyimpan pek nasi dan mengambil tuala, berus gigi, sabun dan lain-lain lagi aksesori spa he he. Epin pergi mandi ngan kawan-kawan, ditinggalkannya pek nasi kami di tepi khemah memasak. Kalaulah nanti dibaham orang, alamat lapor ler sampai malam. Ku lihat, sekarang udah ada dibina pemegang di cerun naik itu. Nadzwan and gang (Zaidi, Rizuan, Izwan dan Epin) yang buat, ntah masa bila. Memang berguna sebab memudahkan semua orang terutama aku.

Selepas melintasi kawasan semak di atas, aku terus ke khemah. Di tempat di mana unggun api hendak dinyalakan tadi, Epin ada di situ. Langsung aku memberitahu: "Epin, aku simpan nasi ni kat khemah sini taw. Kalau tinggal kat bawah sana takut nanti habis kena makan.." Dia diam sahaja. Tidak macam selalu. Aku biarkan sahaja lalu mengambil apa yang patut untuk segera pergi mandi. Mungkin dia tidak dengar apa yang aku katakan. Ataukah dia marah sebab aku pergi mandi seorang dan tidak mengajak dia. Selepas beberapa tapak, aku berhenti lalu menoleh kepada Epin sambil bertanya: "Weh, hang nak pi mandi ka? Jom la...."
Tiada sesiapa di situ.

Aku memerhati persekitaran. Sunyi. Tanpa berlengah aku bergegas meninggalkan kawasan khemah itu. Baru aku teringat Epin sedang mandi bersama kawan-kawan lain. Sambil menuruni kawasan cerun arah ke khemah memasak, fikiran aku terlontar jauh balik mengingati peristiwa-peristiwa yang aku lalui semenjak hari pertama, terutama tentang kelibat hitam itu. Mungkinkah firasat ku tidak benar? Aku silap dalam mentafsirkannya? Aku benar-benar ingin mengetahuinya. Membongkar sesuatu yang bermisteri dan sukar diterima akal.

Aku terus melangkah melintasi kawasan khemah tempat memasak, cuba mencari laluan ke kawasan air terjun di sebelah bawah sana. Dari atas, airnya nampak dalam dan seronok kalau dapat mandi di situ. Aku nampak Pau dan DR ada di situ. Seronok benar mereka. Ini membuatkan hati aku tidak sabar-sabar untuk ke situ. Susah macam manapun, aku mahu mandi di situ. Kalau Epin tau, tentu dia pun mahu ikut ke situ. Tapi Epin sudah pun leka dengan kawan-kawan lain di sebelah atas sana. Biarkanlah, yang penting aku mahu ke tempat yang aku suka nak pergi.
No comments:
Post a Comment