Aku menyembunyikan kegelisahanku dari Epin yang pada waktu itu masih aktif bersembang. Dia memang banyak mulut, ada sahaja modal untuk bersembang. Ciri-ciri itu rasanya yang membuatkan kami dalam tempoh yang singkat boleh menjadi rapat kerana aku mempunyai tabiat yang suka mendengar. Semasa mendaki siang tadi Epin jatuh ke dalam sungai, habis semua bajunya basah. Beg aku pula telah koyak dan tali penyandangnya telah putus. Epin asyik mengingatkan aku tentang tali penyandang itu yang perlu dijahit semula. Dia risau kalau nanti susah untuk aku membawa beg.
Aku lihat dia menggeletar kesejukan kerana baju yang dipakainya lembab, lalu aku menebarkan sleeping bag supaya kami dapat berkongsi sebagai selimut. Aku juga memberikan kain pelikat aku untuk dia gunakan bagi mengurangkan rasa sejuk. Aku rasa bersalah juga kerana sleeping bag yang aku bawa telah jatuh ke dalam gaung petang tadi. Epin mengeluarkan stokinnya dan menyuruh aku pakai supaya kakiku tidak sejuk. Selepas menyapu Siang Medicated Oil, kami pun baring sambil terus berbual. Malam semakin sejuk membuatkan Epin menggigil. Aku dapat rasakan gigilannya. Perbualan kami makin lama makin perlahan hingga akhirnya Epin terlena.

Di luar sana, di khemah sebelah, Pau, Abg Kai dan DR rasanya masih rancak berbual. Aku lantas melontarkan fikiranku kepada kejadian yang berlaku sepanjang hari. Akupun hairan bagaimana beg aku boleh koyak sedangkan aku baru sahaja beli. Aku juga hairan mengapa beg aku menjadi bertambah berat selepas kami berhenti makan tengahari petang tadi. Mulanya aku sangka mungkin kerana ia basah dek air hujan, tapi takkanlah beratnya macam menggendung budak berumur 12 tahun? Lantas lamunanku tertumpu kepada peristiwa petang tadi semasa mandi di sungai. Kelibat apakah yang melintas sungai dengan pantas? Atau mungkinkah khayalanku sahaja? Bagaimana pula dengan hujung daun yang bertempiaran ketika aku menangkap gambar bulan tadi? Walaupun rasa takut itu ada, namun aku rasa selamat kerana Epin ada di sebelahku. Aku merapatkan badan ke badan Epin yang sudahpun mula berdengkur. Gigilannya dapat kurasakan. Memang malam itu hawanya sangat sejuk.
Apa yang kuingat, khemah sebelah sudah pun senyap. Mataku pun semakin mengantuk. Dari dalam khemah aku dapat lihat persekitaran yang cerah, mungkin kerana cahaya bulan, dan mungkin juga kerana unggun api kami yang masih lagi menyala. Dalam sedar tak sedar aku tersentak oleh bayangan hitam melintasi atas khemah kami. Bergerak perlahan-lahan seperti awan tetapi dari bentuknya ia bukan awan. Badan aku tiba-tiba menjadi sejuk. Aku merapatkan lagi badanku kepada Epin. Aku pegang lengan Epin yang sedang berdengkur, berpaut kuat. Kalau ada sesuatu diluar sana, bolehlah aku tarik tangan Epin. Aku menunggu jika berlaku sesuatu. Lama juga sehingga aku terlena. Entah bila aku terlena.

Kesejukan di kakiku membuat aku terjaga. Berderau juga darahku. Lengan Epin tiada lagi dipelukanku. Mulanya aku sangka mungkin dia rimas lalu menarik lengannya dari aku. Dalam samar-samar gelap malam itu aku menggagau tanganku ke arah Epin. Epin tiada di situ. Aku pelik juga kerana dia tidak mungkin ke mana-mana tanpa mengejut aku. Dia sendiri berpesan supaya jangan keluar bersendirian. Bahaya. Aku mula rasa bertambah sejuk, dek kerana rasa takut dan juga kerana angin yang menderu masuk dari pintu khemah kami yang tidak dizip. Alamak, ke mana pula perginya si Epin ni. Kalau nak pergi kencing pun ajaklah aku, bisik hatiku. Aku jadi serba-salah samada mahu tunggu sahaja di situ ataupun pergi cari dia di luar sana. Bimbang juga kalau berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Kalau berlaku apapun, eloklah sama-sama menghadapinya. Aku takkan biarkan dia bersendirian.

Sejuk malam itu betul-betul terasa hingga ke tulang sum-sum. Aku menyapukan Siang Medicated Oil di semua sendi badanku. Mujur aku memakai stokin yang Epin pinjamkan. Kuranglah rasa sejuk. Perlahan-lahan aku bangun untuk keluar dari khemah. Terasa juga goyang lututku. Menggeletar. Antara takut dengan berani aku menyarungkan kasut sambil memerhatikan persekitaran. Mujur suasana agak terang dek cahaya bulan yang sedang mengambang penuh. Lampu suluhku yang sudah kehabisan bateri itu tidak perlu aku gunakan. Suasana begitu sunyi sekali. Mungkin kerana mataku yang rabun, tanah yang kupijak tidak kelihatan kerana ia seolah-olah dilitupi kabut tebal. Mataku mula meliar mencari kalau-kalau Epin ada di mana-mana. Jauh di hujung sana berhampiran jalan ke sungai, ku lihat sosok tubuh Epin sedang berdiri menghadap semak. Mungkin dia sedang kencing, fikirku. Lalu aku menyambar tongkat kayu yang ada terpacak berhampiran khemah dan bergerak ke arah Epin. Sukar juga kerana aku tidak dapat melihat tanah.
Sesekali aku tersadung batu atau akar.

Aku cuba mencepatkan langkah ku. Entah kenapa semakin hampir aku rasa semakin jauh dari Epin. Aku gagahkan juga. Epin ku lihat masih di situ tidak berganjak. Aku redah sahaja laluan ke situ hingga akhirnya aku dapati diriku sudahpun berada di tepi sungai. Epin ku lihat sedang duduk di atas sebuah batu. Aku rasa pelik kerana bagaimana dia boleh sampai ke situ. Permukaan air sungai ku lihat berkaca-kaca, begitu cantik mungkin akibat pantulan sinar bulan. Aku terus menyusun langkah menuju ke arah Epin. Dalam samar-samar mataku yang rabun ini aku dapat melihat di permukaan air sungai itu, bayangan kelibat hitam yang bergerak pantas. Aku teringat peristiwa petang tadi. Kelibat itu seolah-olah bermain-main melintasi antara dahan ke dahan menyeberangi sungai. Kaki ku jadi kaku. Aku muka cemas dan takut. Aku bingung. Jika aku berlari pulang, aku takkan sempat sampai ke kawasan khemah pun. Lalu aku nekad mendapatkan Epin. Ku gunakan seluruh kekuatan dan tenaga aku untuk bergegas ke Epin tanpa mempedulikan batu atau tanah yang aku pijak.

Kelibat itu bergerak makin pantas, ke kiri, ke kanan seperi burung layang-layang yang mahu menyambar mangsanya. Ia makin lama makin hampir kepada Epin hingga akhirnya ia rebah betul-betul menghala kepada Epin. Sepenuh tenaga aku terpa ke arah Epin menolaknya terlentang di atas batu lalu aku peluk erat badannya sambil menunggu kelibat hitam itu jatuh di belakang ku. Peluh mengalir membasahi tubuhku. Aku berasa teramat takut. Ku bacakan apa sahaja ayat yang terlintas di fikiranku. Epin kaku tidak sedarkan diri. Gigilan badannya begitu terasa sekali. Dia dalam kesejukan. Aku gosok-gosok untuk memanaskan badannya sambil menunggu kelibat hitam itu menjunam ke arah kami.
Persekitaran tiba-tiba jadi gelap. Kelibat itu kurasakan makin hampir ke arah kami namun ia bagaikan tersengkang oleh suatu gelindung yang seolah-olah melindungi kami. Aku pejamkan mata kerana aku rasa teramat takut. Aku peluk Epin erat-erat jangan sampai dia dibawa pergi oleh kelibat itu. Jantungku berdegup begitu kencang. Sarafku terasa luruh dari badan. Aku cuma mampu menunggu sahaja apa yang bakal terjadi seterusnya... Aku berharap agar Epin terjaga supaya senang kami fikirkan sesuatu. Kelibat hitam itu masih tersengkang di atas kami. Aku pun tidak tahu apakah ia akan terus tersengkang di situ sehingga pagi. Aku terus berdoa dalam ketakutan yang amat sangat.
No comments:
Post a Comment