Friday, July 9, 2010

Ataukah hanya di bibir saja...

Pada hari Ahad 20 Jun 2010, apabila BJ sms kepadaku mengatakan XPDC ini mungkin terpaksa ditunda lagi, perasaan aku berbelah bagi. Sebahagian dariku mengatakan tidak apa, namum sebahagian lagi mengatakan tidak. Mana bisa ia ditunda lagi selepas rancangan kali pertama dalam bulan Mac lalu tidak menjadi. Apa yang harus aku katakan kepada Epin?

Entah kenapa untuk XPDC yang kali ini aku benar-benar gugup. Gementar. Mungkin kerana aku belum bersedia atau mungkin kerana aku gentar apabila mendengar kisah-kisah Korbu, gunung yang paling sukar didaki di negara ini. Kehadiran Epin bersama dengan semangat dan keterujaannya untuk menawan Korbu membuatkan hati aku turut melonjak sama. Andaikata perancangan kali ini tertunda lagi, entah bila kami akan dapat mendaki bersama.

Hanya apabila BJ mengesahkan tarikh XPDC ini kekal tidak ditunda, barulah aku berani menceritakannya kepada Epin. Kami sama-sama lega. Apa tidaknya, pada hari Ahad itulah kami baru sahaja membeli backpack yang baru. Kami sama-sama teruja dan sama-sama membuat countdown walaupun masing-masing memang tidak bersedia. Pada malam sebelum XPDC bermula, aku masih berada di the Store membeli barangan yang perlu sambil menukar t-shirt Epin yang tersilap pilih warna. Hingga jam 2.00 pagi kami masih hantar-menghantar sms sambil pek barang-barang, hingga aku terlena di atas katil dengan semua barang-barang masih belum dipek.

Terlewat bangun pagi itu, aku kelam-kabut bersiap-siap. Main sumbat aja apa yang patut, janji muat beg. Kamera pun belum siap apabila aku terima panggilan dari Epin pada pukul 7.15 pagi. Bimbang dia akan marah kalau aku lewat, aku bergegas memandu Neoku. Epin di situ, menunggu di McDonald Tambun bersama Fitri dan Ayu. Memang kami sangat seronok pagi itu kerana impian kami untuk mendaki bersama menjadi kenyataan. Di sebalik rasa seronok itu masih terpendam jauh di lubuk hatiku sesuatu yang membuat aku gementar. Entah kenapa kali ini aku benar-benar gugup. Mungkinkah kerana ianya Korbu yang digeruni ramai, atau mungkinkah ada sesuatu yang menantiku di situ? 

Gelagat Epin sebenarnya membuatkan keresahanku hilang. Dia pandai buat lawak, banyak mulut dan menceriakan. Padahal kami baru sahaja kenal dalam bulan Februari lepas kira-kira 2 minggu sepulangnya aku dari Pertandingan Berakit anjuran JAS Perak. Mungkin kerana nama kami sama, maka ada keserasian di antara kami. Apa yang seronoknya,  dia tawarkan diri untuk bawa tripod kesayanganku dan barangan-barangan yang berat.  Aku ok jer....
Kami ingin bergambar sebanyak mungkin di atas sana. Soalnya, mampukah kami sampai ke puncak? Korbu betul-betul menakutkan aku.

No comments:

Post a Comment