Monday, July 19, 2010

dan juga awan....

Aku bagaikan terpukau oleh keindahan pemandangan di sekitar kawasan di bawah sana. Keseronokan yang dipamirkan oleh Pau dan DR bagai menggamit-gamit aku supaya segera ke situ. Tiba-tiba aku terlupa akan segala keresahan dan kerisauanku. Perasaanku tiba-tiba jadi tenang dan girang. Aku cepat-cepat turun ke situ.

"Ikut sebelah sana! Situ licin...." Pau memberitahu.
Aku ikut sahaja seperti arahannya. Pau memang seorang yang baik hati, begitu juga DR walaupun mulut mereka boleh tahan juga laser tahap chimpanzee nya. Biasalah kalau sesiapa yang ikut grup BJ ni memang kena belajar-belajar melaserkan mulut...tak kisahlah tahap cipan ke, tahap gaban ke, tahap babun ka... janji ada lah ciri2 laser. Ha ha... Telinga pun kena sama level dengan darjat telinga kuali.

Kawasan di situ agak redup dan terlindung. Payah juga untuk turun ke bawah sana. Aku duduk di atas batu, merendam kaki ke dalam air. Aaah! Sejuk dan menyegarkan... Kawasan air di situ memang dalam. Puas mandi kalau dapat berendam. Sambil menggosok gigi dan kemudian mencuci muka, aku berbual dengan Pau. Sama seperti masa mendaki Gunung Bubu, Pau dan DR akan sentiasa berada di sungai. Macam itek, terlalu sukakan air. Aku pun sukakan air. Tapi tak da la macam itek.

"Join la Fauzi (G Springer) pi main basikal.... Elok ooo untuk stamina," cadang Pau kepada aku apabila aku  buka cerita berkenaan Fauzi (G Springer) mengajak aku main basikal. 

"Hmm... bukan taknak. Tapi tak taw nak simpan mana basikal tu. Rumah aku kecik. Kalau letak kat luar, sure kena curi," jawabku sambil berendam dan menyabun badan. Aku rasa teramat tenang berendam di situ. Bila terasa amat sejuk aku naik ke atas batu besar di situ dan terus berbual dengan Pau yang kemudiannya sibuk mengalihkan sebuah batu besar di dasar sungai itu menjadikan kawasan tempat aku berendam tadi lebih luas dan lebih dalam.

"Hati-hati, batu tu licin.." pesan Pau apabila melihat aku berdiri di atas batu. Aku memang memang fobia berjalan di atas batu-batu besar. Bukan sebab licin sahaja, malah aku juga takut kerana badan aku boleh tiba-tiba jadi tak seimbang.

Fikiran aku terlontar kepada peristiwa dalam tahun 2006 semasa Night Walk di Kem Rekreasi Intan Suraya. Semasa meniti deretan batu besar selepas menyeberangi sebuah anak sungai, badan aku tiba-tiba hilang imbangan menyebabkan aku terjerumus ke celahan batu-batu besar dengan kaki ke atas dan kepala ke bawah. Kawasan di situ tersangat gelap sehingga kawan-kawan lain sukar mencari aku yang sedang tergantung kepala ke bawah. Kalaulah mereka lewat dan aku tidak dapat bertahan, tentu aku sudah tiada lagi pada hari ini. Aku tetap tidak dapat melupakan peristiwa itu.



Kami baru sahaja lepas melintasi sebuah anak sungai yang berbatu-batu pada malam itu. Laluan yang bakal kami tempuhi adalah deretan batu-batu besar yang tidak seragam bentuknya. Selepas mendaki naik ke atas batu besar itu, aku berhenti sebentar menunggu Pak Leh yang berada di depanku melangkah ke batu yang satu lagi. Semasa menunggu, aku berdiri tegak memerhatikan Azam yang berada selepas aku dalam barisan kami. Dengan tidak semena-mena badan ku bagai terdorong ke belakang ke arah lubang besar antara batu-batu besar. Aku tidak dapat berbuat apa-apa. Mujur di sebelah kiri aku terdapat juntaian akar-akar pokok. Cepat aku mencapainya sementara badan aku telah rebah masuk ke dalam lubang. Aku tergantung dengan kepala di bawah. Batu besar itu betul-betul di bawah punggung ku. Tangan kanan ku menggagau mencari apa-apa yang boleh dipaut. Namun tiada apa kecuali permukaan batu yang licin. Aku jadi cemas. Takut.

"Pak Leh!!!! Azaam!!!" jeritku sekuat hati, dengan harapan mereka mendengar. Juraian akar yang aku genggam dengan tangan kiriku perlahan-lahan menyorot ke bawah membuatkan badan aku terus terdorong ke dalam lubang gelap itu. Aku menjadi semakin cemas. Tangan kananku masih tidak dapat mecari apa-apa untuk berpaut. Aku kini terperangkap di situ. Walau aku cuba menggunakan kaki untuk membetulkan posisi badan aku yang terbalik itu, namun usahaku gagal. Nafasku turun naik. Deras. Matilah aku kali ini, bisikku. Entah berapa kali aku mengucap.


Kraak!!! Tiba-tiba juraian akar di tangan kiriku itu menyorot menyebabkan kepala aku terus jatuh lebih dalam ke bawah, di antara batu-batu besar itu. Badan aku juga terdorong ke bawah membebaskan kaki kanan aku yang tersekat tadi. Aku menyentap-nyentap akar yang ku paut dengan tangan kiriku. Kali ini akar-akar tersebut tidak terus menyorot ke bawah sebaliknya kekal mantap di situ. Lega sedikit kerana kaki kananku dapat ku gunakan untuk membetulkan kedudukan badanku.


Dalam kepayahan, aku cuba sedaya-upaya membetulkan kedudukan badan aku supaya kaki ku berada di bawah. Sedikit demi sedikit aku anjakkan kakiku hingga akhirnya aku dapat membetulkan kedudukan badanku. Seluruh tangan kiriku terasa begitu sakit. Lenguh. Bingkai cermin mata aku yang patah semasa jatuh tadi, hampir mencucuk mataku. Mujur aku dapat mengelak. Dalam kegelapan malam, dengan mata aku yang rabun ini, aku cuma bergantung kepada deria pendengaran dan deria bau.


"Eh, mana Ipin? Tadi dengar suara dia jerit," terdengar Pak Leh bertanya di atas sana. Hatiku jadi semakin lega.

"Pak Leh!!! Aku kat sini!!!!" jeritku sekuat hati. Aku nampak cahaya lampu suluh menala ke persekitaran tempat aku jatuh.

"Kau kat mana Pin???!!!" jerit Pak Leh. Dia cuba mencari.

"Sini!!! Kat bawah ni!!!" balas ku.

"Woi!!! Mari! Ipin jatuh lubang!!!" jerit Pak Leh memanggil kawan-kawan yang lain. "Tunggu Pin!! Bertahan."

"Pak Leh, jangan pegang tangan kiri aku.... pegang tangan kanan!!!" jerit aku apabila Pak Leh cuba menarik tangan kiri aku. Dia mungkin tidak nampak dengan jelas kedudukan aku di celah batu-batu besar itu. Aku menggunakan kedua-dua kaki ku untuk mencari tempat berpijak. Tiada. Rupa-rupanya aku tergantung di celah tiga batu besar yang langsung tiada tempat berpijak. Lubang itu terlalu dalam. Aku cuba juga memijak batu besar tempat badanku terdampar, namum sia-sia. Begitu licin dan cembung. Pak Leh memegang tangan kanan aku dan cuba menarik aku ke atas tetapi tidak berjaya.

"Tunggu sat Pin. Jangan banyak bergerak," terdengar suara Wan Rahman. "Tunggu Azam datang."

Aku jadi semakin lega, namun jauh di sudut hati aku terus berdoa. Badanku semakin lemah. Sejuk menggigil. Tangan kiri ku semakin letih. Aku terus bertahan sementara menunggu Azam datang.

"OK Pin, kami akan tarik kau ke atas. Relaks tau," Wan Rahman memberitahu. Azam memegang tangan kanan ku manakala Wan Rahman memegang tangan kiriku. Pak Leh pula stand by untuk menangkap aku kiranya  aku terjatuh semula. Dengan seluruh badan aku yang sudah berpeluh dan berminyak, memang sukar bagi mereka untuk memegang tanganku dengan kemas.

"Satu, dua... tarik!!!" Wan Rahman memberikan arahan. Mereka menarik ku ke atas dengan sepenuh tenaga. Aku mengempiskan perut dan berusaha meringankan badan.

Aku terdampar di atas batu besar itu. Tercungap-cungap. Badan ku terasa amat letih dan tidak bermaya. Lama jugak aku terlungkup tidak bergerak. Rasa lega yang teramat sangat!!!!

Lamunan aku terhenti. Di atas sana aku nampak Epin sebab aku cam jeket jalur biru-merah yang dia pakai. Dia nampak aku sedang mandi. Lantas aku teringat nasi kami. Mungkin Epin lapar. Aku segera menyudahkan mandiku. Pau dengan DR masih lagi rancak bermain-main dengan air. Macam itek.

"Hati-hati Pin, licin situ!" Pau memberi nasihat. Aku mengatur langkah dengan cermat. Aku tetap fobia berjalan di atas kawasan berbatu. Tapi aku kena segera naik ke atas. Kesian Epin mungkin lapar.

Entahlah, mungkin sudah nasib aku, sesampai sahaja di batu paling atas tempat aku berpijak, tiba-tiba aku tergelincir membuatkan badan aku mahu jatuh terlentang. Gelap rasanya seketika. Mujur pada waktu itu seluruh badanku disambut oleh sesorang. Aku rasa begitu lega sekali. Aku membongkokkan badan, menarik nafas sambil membetulkan diri. Aku menoleh ke arah orang yang menyambut aku tadi untuk mengucapkan terima kasih.

Tiada siapa di situ. Aku jadi bingung. Tidak mungkin Pau mahupun DR sebab mereka berada jauh di sungai. Tidak mungkin budak-budak guide dan porter sebab mereka berada jauh di khemah mereka.









4 comments:

  1. wahh..laser gak ekk aku ni..aku ingat aku ni lemah lembut hehehe

    ReplyDelete
  2. ha ha ha ha... law tak laser tak survive dalam grup BJ... ho ho..

    ReplyDelete
  3. hahaha besa la..dlm group BJ kita kena blaja untuk kutuk orang..sebab kawan2 camna baik/bagus pun kita dorang akan kutuk kita balik hahaha tapi best lawan2 kutuk ni

    ReplyDelete
  4. law tak kutuk-mengutuk, tentu boring.... Tapi kita tak over.... saja sekadar suka-suka... he he..

    ReplyDelete