Saturday, June 18, 2011

aku meminta pada yang ada (2)

Persekitaran masih gelap pada waktu kami bertolak dari kem Kijang ke puncak. Lepas cepat-cepat bersiap aku duduk menunggu di bawah pokok. Fikiran aku terlontar ke gigi air. Entah kenapa aku tak begitu ada mood untuk mengambil gambar sebagaimana biasa. Mungkin aku penat, mungkin juga aku tidak seronok. Keseronokan itu macam sudah tiada. Cuma ada rasa teruja terhadap sesuatu yang baru aku temu.

"Pin, hang bawa tripod... Aku bawa ayaq hang dalam beg aku..."

Aku tidak menjawab. Belum pun sampai ke puncak, Epin sudah give-up? Kalau bekalan air aku dia yang bawa, macam mana kalau aku tak jumpa dia di dalam perjalanan ini nanti?

"Hang bawa tripod, aku boleh bawa air aku," aku jawab ringkas sambil mengunjukkan tripod kepada Epin. Dia yang cakap dia nak tolong aku bawa tripod sampai ke puncak. Boleh percaya kah kata-katanya?

Sunday, December 19, 2010

Aku merayu pada mu yang sudi merinduku

Air sungai ku rasakan begitu suam lagi menyamankan. Fikiranku terbuai-buai, hanyut bersama aliran yang deras tanpa henti itu. Aku jadi khayal antara mimpi dan jaga. Indah. Seluruh badanku menjadi lemah tidak berdaya, terpasung di antara celahan batu-batu besar sungai hingga aku rasakan badanku dan batu-batu sungai itu sudah menjadi satu. Memang sudah lekat menjadi satu ibarat akar-akar pokok yang berselirat mencengkam batu.

Bulan mengambang penuh. Besar dan jelas, bersinar indah berlatarkan langit dan awan yang begitu suram, seolah-olah seorang kawan yang setia menemaniku.

Ia suatu penantian yang panjang. Biarpun bulan silih berganti, kelibat yang ditunggu masih belum muncul. Kekeciwaan menerpa-nerpa hingga merobek hati menjadi luka yang lama kelamaan berkudis dan menanah. Sakitnya berterusan tanpa henti mengikut denyutan nadi. Airmatanya mengalir bak aliran sungai, keluhannya bergema bak deruman jeram.

Tuesday, November 9, 2010

Aku merindu pada yang kasih...

Gerun menyusuri cerun, namun lebih gerun lagi apa yang aku alami. Apapun, aku perlu melakukannya dengan penuh keikhlasan. Aku betul-betul terperangkap dalam situasi yang menyisihkan aku dari kawan-kawan lain. Aku sebenarnya nyaris terpisah dari lingkungan selamat, berada di perantaraan nyata dan maya. Penglihatanku jadi tidak jelas dan dalam selamasa tertentu persekitaran begitu mengeliru.

Perutku meragam lagi sela beberapa minit selepas aku pergi membuang. Aku pun lupa jam berapa aku bangun semula ke khemah Epin. Kali ini Epin enggan melayan. Dia minta aku tahan hingga ke pagi. Walaupun keciwa, aku akur kerana aku faham tiada siapa pun sanggup bangun pagi-pagi buta dalam enak diulit mimpi. Aku melangkah pergi menuju ke khemah ku. Hingga berhampiran bucu khemah Fitri, aku terperasan persekitaran yang begitu berkabut. Suasana begitu indah hingga mengkhayalkan. Rasa takut atau gementar ku tiba-tiba hilang. Angin pagi yang berhembus begitu nyaman, segar dan mengasyikkan. Entah mengapa aku jadi leka. Aku ingin turun ke bawah sana, ke gigi air.

Friday, July 30, 2010

Aku meminta pada yang ada.....

Ia bukanlah memaksa, tidak juga mendesak. Ia seolah-olah merayu penuh hiba dan menghiris perasaan. Rayuan itu begitu melemaskan hingga sesak nafas ini dan begitu mengkhayalkan hingga boleh terlena dibuatnya. Cuma aku tidak tahu apa yang dia mahu. Penat aku menafsirnya.

Sambil berbaring aku cuba mengingat perkara yang berlaku sepanjang dua hari itu. Jeft sudah pun lena tidur di kanan ku. Anas di kiri ku masih jaga. Entah apa dia buat aku pun tak pasti. Selepas dia beri pinjam lampu suluhnya kepada aku, dia berbaring senyap di tempatnya. Aku tidur tidak berbantal dan hanya berselimutkan pelapik lantai khemah. Selesa juga. Entah kenapa aku langsung tidak rasa sejuk macam masa di Kem Seroja. Pelapik lantai khemah itu rasanya macam comforter pula.

Khemah sebelah masih riuh. Suara BJ, Nadzwan dan Izuan tak henti-henti mengusik sambil mengutuk kawan-kawan lain. Biasalah mereka, kalau tak mengutuk orang, tentu tak lena tidur. Aku pun seronok juga sebenarnya, tumpang mengutuk sama di mana boleh. Ha ha.

Aku hampir terlelap bila tiba-tiba aku terdengar suara Epin.

"Pin, bak mai botol ayaq hang. Aku nak pi ambik ayaq. Nanti esok hang dahaga."

Aku bingkas bangun untuk lalu mengambil botol air ku. Lantas aku keluar untuk menghantar botol air itu kepada Epin. Tiada pun Epin di sekitar itu. Aku masuk semula ke dalam khemah. Lama juga aku menunggu Epin. Mungkin dia tak jadi pergi.

Tuesday, July 20, 2010

Siapa tahu rindu yang mencengkam di hatiku

Gatal mulut. Itu istilah paling tepat.

Aku pun tak tahu kenapa gatal betul mulut aku petang itu. Cepat sangat meluahkan sesuatu  tanpa berfikir. Hal itu membuatkan aku termenung. Aku jadi makin risau. Aku tidak sangka ucapan ku itu membawa kepada apa yang sukar aku percayai. Ingatan aku balik kepada orang yang menyambutku ketika tergelincir petang tadi. Aku mula menyalahkan diri sendiri kerana degil tidak mendengar nasihat Epin. Jangan pergi mandi bersendirian. Kalaulah aku pergi ikut Epin mandi dengan kawan-kawan lain, tentu tidak jadi begini. Tapi nanti Epin rimas pulak kalau aku asyik mengekor dia. Lagipun, aku mahu mandi di tempat yang airnya dalam. Macam juga di Bubu,  seronok mandi dengan Pau dan DR.

Tapi kenapalah aku gatal mulut. Aku fikir tak salah kerana niat aku ikhlas. Aku bukannya mengeluarkan kata-kata kesat. Aku bukannya menegur apa-apa yang tidak elok ataupun mengutuk apa-apa yang pelik yang aku lihat. Aku cuma mahu menyatakan rasa terima kasih ku. Tapi mungkin cara aku nyatakannya telah disalahtafsir. Dalam rasa serba-salah, risau, cemas dan takut, aku ingin sekali menceritakannya kepada Epin. Malangnya aku tidak berpeluang langsung. Aku lihat Epin sibuk dengan kawan-kawan lain. Aku pun tak pasti sama ada Epin akan percaya kepada aku atau tidak.

Sekarang sesuatu yang baru aku temui itu mungkin tidak akan melepaskan aku. Aku jadi takut.


Monday, July 19, 2010

dan juga awan....

Aku bagaikan terpukau oleh keindahan pemandangan di sekitar kawasan di bawah sana. Keseronokan yang dipamirkan oleh Pau dan DR bagai menggamit-gamit aku supaya segera ke situ. Tiba-tiba aku terlupa akan segala keresahan dan kerisauanku. Perasaanku tiba-tiba jadi tenang dan girang. Aku cepat-cepat turun ke situ.

"Ikut sebelah sana! Situ licin...." Pau memberitahu.
Aku ikut sahaja seperti arahannya. Pau memang seorang yang baik hati, begitu juga DR walaupun mulut mereka boleh tahan juga laser tahap chimpanzee nya. Biasalah kalau sesiapa yang ikut grup BJ ni memang kena belajar-belajar melaserkan mulut...tak kisahlah tahap cipan ke, tahap gaban ke, tahap babun ka... janji ada lah ciri2 laser. Ha ha... Telinga pun kena sama level dengan darjat telinga kuali.

Kawasan di situ agak redup dan terlindung. Payah juga untuk turun ke bawah sana. Aku duduk di atas batu, merendam kaki ke dalam air. Aaah! Sejuk dan menyegarkan... Kawasan air di situ memang dalam. Puas mandi kalau dapat berendam. Sambil menggosok gigi dan kemudian mencuci muka, aku berbual dengan Pau. Sama seperti masa mendaki Gunung Bubu, Pau dan DR akan sentiasa berada di sungai. Macam itek, terlalu sukakan air. Aku pun sukakan air. Tapi tak da la macam itek.

"Join la Fauzi (G Springer) pi main basikal.... Elok ooo untuk stamina," cadang Pau kepada aku apabila aku  buka cerita berkenaan Fauzi (G Springer) mengajak aku main basikal. 

"Hmm... bukan taknak. Tapi tak taw nak simpan mana basikal tu. Rumah aku kecik. Kalau letak kat luar, sure kena curi," jawabku sambil berendam dan menyabun badan. Aku rasa teramat tenang berendam di situ. Bila terasa amat sejuk aku naik ke atas batu besar di situ dan terus berbual dengan Pau yang kemudiannya sibuk mengalihkan sebuah batu besar di dasar sungai itu menjadikan kawasan tempat aku berendam tadi lebih luas dan lebih dalam.

"Hati-hati, batu tu licin.." pesan Pau apabila melihat aku berdiri di atas batu. Aku memang memang fobia berjalan di atas batu-batu besar. Bukan sebab licin sahaja, malah aku juga takut kerana badan aku boleh tiba-tiba jadi tak seimbang.

Fikiran aku terlontar kepada peristiwa dalam tahun 2006 semasa Night Walk di Kem Rekreasi Intan Suraya. Semasa meniti deretan batu besar selepas menyeberangi sebuah anak sungai, badan aku tiba-tiba hilang imbangan menyebabkan aku terjerumus ke celahan batu-batu besar dengan kaki ke atas dan kepala ke bawah. Kawasan di situ tersangat gelap sehingga kawan-kawan lain sukar mencari aku yang sedang tergantung kepala ke bawah. Kalaulah mereka lewat dan aku tidak dapat bertahan, tentu aku sudah tiada lagi pada hari ini. Aku tetap tidak dapat melupakan peristiwa itu.



Friday, July 16, 2010

Cuma berteman bintang berkerlipan...

Petang masih muda. Hujan akhirnya berhenti dan langit masih cerah ketika itu. Selepas khemah tempat memasak didirikan, ada di antara kami yang sibuk menghidupkan api. Kayu yang basah dengan kelembapan persekitaran yang tinggi dan suhu yang rendah di ketinggian lebihkurang 3,000 kaki dari aras laut membuatkan begitu sukar untuk kami memarakkan api. Jenuh juga aku lihat Jeft dan Anas mengipas. Aku rasa ralat juga kerana tidak membawa WD-40.

Entah kenapa mood aku berubah untuk trip yang kali ini. Keceriaan itu seolah-olah telah luput dari diriku. Aku memerhatikan persekitaran. Kawan-kawan lain sedang sibuk dengan tugas masing-masing penuh keriangan. Riuh macam tongkang pecah. Biasanya aku akan cepat menyambar kamera, bergegas ke lokasi yang ku pilih untuk angle yang menarik lalu terus mengambil dan mengambil dan mengambil gambar. Kali ini, ia berbeza. Seindah mana pun suasana, aku bagai terkhayal oleh sesuatu yang lain. Sesuatu yang aku sendiri tidak tahu apa sebenarnya. Aku jadi termangu, hilang punca.