Sunday, December 19, 2010

Aku merayu pada mu yang sudi merinduku

Air sungai ku rasakan begitu suam lagi menyamankan. Fikiranku terbuai-buai, hanyut bersama aliran yang deras tanpa henti itu. Aku jadi khayal antara mimpi dan jaga. Indah. Seluruh badanku menjadi lemah tidak berdaya, terpasung di antara celahan batu-batu besar sungai hingga aku rasakan badanku dan batu-batu sungai itu sudah menjadi satu. Memang sudah lekat menjadi satu ibarat akar-akar pokok yang berselirat mencengkam batu.

Bulan mengambang penuh. Besar dan jelas, bersinar indah berlatarkan langit dan awan yang begitu suram, seolah-olah seorang kawan yang setia menemaniku.

Ia suatu penantian yang panjang. Biarpun bulan silih berganti, kelibat yang ditunggu masih belum muncul. Kekeciwaan menerpa-nerpa hingga merobek hati menjadi luka yang lama kelamaan berkudis dan menanah. Sakitnya berterusan tanpa henti mengikut denyutan nadi. Airmatanya mengalir bak aliran sungai, keluhannya bergema bak deruman jeram.

Persekitaran Kem Kijang masih gelap awal pagi itu bila kami semua bersiap-siap untuk mendaki ke puncak. Kami masih ada kira-kira 4000 kaki lagi untuk diredah. Aku sendiripun tidak pasti samada aku dapat tiba ke puncak. Perasaan aku sudah berubah kerana aku rasa perlahan-lahan aku sudah bergerak jauh dari kumpulan ku. Aku lebih terdorong kepada sesuatu yang baru aku temui. Sesuatu yang membuatkan aku nekad untuk tiba ke puncak.

No comments:

Post a Comment