Badanku masih terasa lemah kerana letih. Epin masih erat dalam pelukanku, enggan aku lepaskan kerana bimbang dicopet oleh kelibat hitam itu. Gigilan badannya masih terasa. Aku tahu dia masih lagi bernyawa kerana aku dapat rasakan degupan jantungnya dan turun naik nafasnya. Mungkin dia pengsan atau telah dirasuk sehingga tidak sedarkan diri. Aku menggosok-gosok badan Epin supaya dia tidak kesejukan. Bayangan hitam itu masih ada, betul-betul di atas kami, mungkin menunggu masa untuk menelan kami.
Dalam kekalutan itu, badan Epin tiba-tiba bergerak. Dia mula tersedar? Perasaan takutku jadi reda dan aku mula berasa lega. Cepat aku tarik tanganku dan letakkan di tepi Epin. Malu pun ada, takut dimarahi pun ada. Dengan mataku masih terpejam, aku menunggu Epin sedar sepenuhnya. Aku dapat rasakan Epin bingkas bangun lalu duduk.
"Sejuk....," terdengar suara Epin. Perlahan-lahan aku membuka mata. Bayangan hitam itu berada betul-betul di atas kepala Epin, hampir mencecahnya. Mungkin Epin tidak menyedarinya kerana dia baru sahaja bangun. Aku buka mataku luas-luas kerana aku benar-benar mahu lihat rupa sebenar kelibat hitam itu.
Ya, aku lihat dengan jelas kelibat hitam itu.... yang tidak akan dapat ku lupakan hingga saat ini....
Cuaca pagi itu sangat indah dengan udara gunung yang menyegarkan. Riuh juga kedengaran suara kawan-kawan lain berbual. Ada yang duduk-duduk di khemah tempat kami memasak, ada yang mula menyiapkan sarapan pagi dan ada yang sudahpun ke sungai untuk mandi atau o'ok. Aku bingkas bangun, duduk di sebelah Epin.
"Hang mau kencing ka? Jom kita pi mandi...." ajak Epin. Aku ikut ja sebab tak mahu pi mandi sorang-sorang. Teringat peristiwa malam tadi. Sambil bersiap-siap untuk mandi, Epin ajak bawak kamera untuk bergambar di sungai. Ok gak. Pemandangan kat situ tentu cantik.
Epin, sebagaimana aku, memang minat mengambil gambar dan bergambar. Aku perhatikan dia memang pandai mencari angle yang menarik. Dia juga pandai bergaya bila bergambar. Memang seronok ada kawan yang mempunyai minat yang sama. Pengalaman itu boleh dikongsikan dan tidak menjemukan.
Air sungai betul-betul sejuk. Lambat juga kami nak masukkan kaki ke dalam air.
Terdengar BJ membuat pengumuman bahawa kami akan mula menapak ke Kem Kijang pada jam 10 pagi. Walaupun masa masih awal, kami perlu bersiap-siap pek barang-barang. Pagi itu kami dihidangkan dengan Nasi Goreng dengan sambal ikan bilis. Anas n the Girls yang masak rasanya. Sedap weh.
Banyak juga aku makan sebab aku memang kuat makan. Apa sahaja yang dihidangkan, aku ngap aja. Tambah-tambah bila aku sedang seronok. Memang aku seronok dapat bersama-sama kawan-kawan kaki gunung. Seronok sebab mereka menerima aku seadanya dan sanggup melayan kerenah aku yang adakalanya hangen tak tentu pasal. Seronok sebab aku dapat merakamkan semua peristiwa yang kami alami bersama. Dan yang paling seronok sebab untuk trip kali ini Epin ada bersama. Puas hati aku kerana dapat membawa Epin bersama-sama. Aku mahu dia berkenal dengan semua kawan-kawan kaki gunung aku dan aku mahu mereka berkenal dengan dia. Aku mahu kongsikan semua keseronokan itu bersama. Melihat mereka seronok, aku tumpang gembira. Aku pun sebenarnya menumpang keseronokan dari mereka. Hu hu...
Tapi kali ini, ada yang merencat keseronokan itu.
Selepas bersarapan, kami berkemas-kemas. Epin dan aku ada la juga membantu mencuci periuk belanga. Itu ja yang kami tahu buat pun, he he. Sebenarnya aku yang tak banyak membantu sebab aku perlu beri perhatian kepada kamera aku. Epin memang banyak membantu kawan-kawan lain. Pagi itu dia masih lagi menunjukkan kerisauan tentang beg aku yang telah rabak dan putus tali penyandang. Seperti biasa aku minta tolong dari Tuan Besout. Zomba dan Rizuan turut membantu.
Aku rasa masa seolah-olah cepat berlalu. Sedar-sedar kami sudahpun siap untuk beredar. Nasi dan lauk untuk makan tengahari sudah siap dimasak. BJ memberi arahan supaya kami membungkus nasi masing-masing untuk makan tengahari nanti manakala lauk akan diagih-agihkan di sana. Aku membungkus 2 tapawe nasi untuk aku dan Epin lalu memasukkannya ke dalam beg. "Kalau berat, bak mai aku bawa," pelawa Epin. Aku tetap mahu membawanya kerana aku lihat banyak barang-barang lain yang Epin bawa selain tripod aku dan sebotol minyak masak 3.5L.
Aku tidak akan melepaskan peluang untuk bergambar beramai-ramai. Sesusah mana pun aku tetap menggendong tripod kamera aku ke setiap destinasi yang aku ikut serta, kerana aku mahu setidak-tidaknya ada satu gambar yang semua muka ada di dalamnya. Bagi aku, kita bergerak bersama-sama, oleh itu kenangan itu perlu diabadikan bersama juga. Aku tetap berterima kasih kepada Epin kerana membantu.
Selepas membaca doa, kami pun memulakan perjalanan ke Kem Kijang. Oleh sebab tapak perkhemahan di kem Kijang terhad, BJ mencadangkan supaya beberapa khemah tidak dibawa ke Kem Kijang. Aku mencadangkan supaya khemah kami (aku dan Epin) ditinggalkan di situ. Barang-barang yang tidak mahu dibawa ke Kem Kijang bolehlah di simpan di khemah itu.
"Eh apa hal khemah ni atapnya macam ni?" aku dengar BJ berkata, sambil menunjuk khemah kami. Memang khemah kami tiada atap penutup tu, jadi Epin menggunakan pelapik lantai khemah lain untuk dijadikan penutup atap.
Sebelum meninggalkan Kem Seroja, aku lemparkan pandangan ke khemah kami. Aku rasa sedikit lega kerana aku tahu kelibat hitam itu akan tinggal di Kem Seroja dan tidak mengikut kami ke Kem Kijang. Memang aku pasti, tapi ia tidak menghilangkan rasa gugup aku untuk meneruskan perjalanan.


"Tak apa Epin, hang pi dulu. Hang jalan dulu," aku memberitahu Epin. Aku tak mahu keadaan aku akan "spoil" mood dia.
"Tak bolehlah macam tu...." aku dengar jawapan darinya.

Aku suka ambil gambar di tempat-tempat yang sukar. Itulah tujuan utama aku mengikuti XPDC bersama JAS Perak. Lebih sukar untuk diambil sesuatu gambar itu, lebih seronok aku rasa. Ia suatu cabaran. Kalau boleh, aku mahu ambil gambar dari atas pokok, dari dalam sungai, dari celah-celah lereng yang sukar dsb. Ia suatu kepuasan.
Namun, keupayaan aku terhad dan mereka bergerak terlalu pantas sehingga terjelir lidah aku nak mengikut rentak mereka. Dan, di mana sempat, kami pun berposing sakan. Aku lihat Epin seronok berposing. Ia membuatkan hati aku lebih puas.

Hanya apabila kami hampir tiba di Kem Kijang, barulah Epin bergegas dengan cepat berjalan mengikut Cikgu Khai. Aku biarkan sahaja sebab dia perlu membantu kawan-kawan yang lain untuk set khemah. Lagipun dia nampak seronok dan senang bersama-sama Cikgu Khai. Ralit berbual. Asalkan dia gembira, oret je le.
Kem Kijang memang cantik. Bagaimanapun, apabila melintasi satu kawasan yang aku nampak bagaikan sebuah gerbang akar-akar kayu, perasaan aku tiba-tiba berubah. Entah kenapa keceriaan aku tak semena-mena rasa direnggut. Aku jadi resah. Ibarat ada kesedihan yang amat sangat.
Lamunan aku terhenti apabila kedengaran sorakan dari kawan-kawan. Ya, aku telah tiba di Kem Kijang. Seingat aku, hujan turun dengan agak lebat selepas itu. Sesampai aku di situ aku lihat Epin sedang duduk dengan sekumpulan kawan-kawan lain. Dia datang mendapatkan aku memberikan tripod, sebelum pergi ke tapak perkhemahan di atas sana. Aku beritahu dia yang aku tunggu di bawah. Selepas menutup beg aku dengan baju hujan pakai buang, aku membantu kawan-kawan lain memasang khemah untuk memasak.
Aku dapat rasakan ada yang tidak kena. Cuma aku tidak tahu apakah yang tidak kena itu. Epin? Tingkah lakunya nampak berbeza, terdetik di hatiku.
No comments:
Post a Comment