Ia bukanlah memaksa, tidak juga mendesak. Ia seolah-olah merayu penuh hiba dan menghiris perasaan. Rayuan itu begitu melemaskan hingga sesak nafas ini dan begitu mengkhayalkan hingga boleh terlena dibuatnya. Cuma aku tidak tahu apa yang dia mahu. Penat aku menafsirnya.
Sambil berbaring aku cuba mengingat perkara yang berlaku sepanjang dua hari itu. Jeft sudah pun lena tidur di kanan ku. Anas di kiri ku masih jaga. Entah apa dia buat aku pun tak pasti. Selepas dia beri pinjam lampu suluhnya kepada aku, dia berbaring senyap di tempatnya. Aku tidur tidak berbantal dan hanya berselimutkan pelapik lantai khemah. Selesa juga. Entah kenapa aku langsung tidak rasa sejuk macam masa di Kem Seroja. Pelapik lantai khemah itu rasanya macam comforter pula.
Khemah sebelah masih riuh. Suara BJ, Nadzwan dan Izuan tak henti-henti mengusik sambil mengutuk kawan-kawan lain. Biasalah mereka, kalau tak mengutuk orang, tentu tak lena tidur. Aku pun seronok juga sebenarnya, tumpang mengutuk sama di mana boleh. Ha ha.
Aku hampir terlelap bila tiba-tiba aku terdengar suara Epin.
"Pin, bak mai botol ayaq hang. Aku nak pi ambik ayaq. Nanti esok hang dahaga."
Aku bingkas bangun untuk lalu mengambil botol air ku. Lantas aku keluar untuk menghantar botol air itu kepada Epin. Tiada pun Epin di sekitar itu. Aku masuk semula ke dalam khemah. Lama juga aku menunggu Epin. Mungkin dia tak jadi pergi.